Aug 13, 2021 - FASPasukan Selangor FC akan kembali beraksi dalam saingan Liga Super 2021 ke-18 dengan menentang Kedah Darul Aman FC malam ini di Stadium Darul Aman jam 9 malam.
Pihak Malaysian Football League (MFL) telah secara rasmi menukar jadual Liga Super 2021 setelah pasukan Lang Merah selesai menjalani kuarantin susulan arahan yang dikenakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Malam ini merupakan perlawanan pertama KDA FC setelah berehat panjang namun Karsten Neitzel, Ketua Jurulatih Selangor tidak mengganggap itu satu kelebihan untuk pasukan.
"Saya rasa tidak penting berapa banyak perlawanan kita atau mereka telah bermain kerana di atas padang yang akan menentukan. Apa yang penting adalah kita telah membuat persiapan yang terbaik untuk menghadapi mereka malam ini."
"Bagi saya, pemain-pemain sekarang mempunyai keyakinan yang cukup untuk bermain dengan baik setelah menang untuk kali kedua minggu lepas. Jika mereka terus bermain dengan semangat yang sama, kita akan mempunyai peluang yang baik untuk mendapatkan tiga mata seterusnya," jelas Karsten.
Bercerita tentang persiapan, Karsten dan barisan jurulatih bersyukur dapat lebih masa untuk menyediakan pasukan setelah jadual bertukar.
"Persiapan kali ini saya yakin lebih baik kerana kita mempunyai lebih banyak masa untuk berlatih dan ia tidak seperti minggu-minggu yang lalu. Kami telah menggunakannya sebaik mungkin dengan aktiviti pemulihan, sesi analisa video secara berkumpulan dan individu serta merancang corak perlawanan yang ingin dimainkan malam ini. Saya berharap pasukan akan bersedia dengan dan berikan komitmen yang baik semasa perlawanan berlangsung."
Bagi keberadaan pemain, Selangor FC tidak dapat menurunkan Aliff Haiqal Lau yang cedera semasa perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Tim Heubach (kecederaan buku lali) sehingga mereka kembali disahkan pulih dan selesai menjalani proses fisioterapi.
Manakala, tiga lagi pemain tonggak Gergasi Merah Halim Saari (ACL), Shahrel Fikri (kecederaan pergelangan kaki) dan ketua pasukan, Brendan Gan sedang menjalani sesi pemulihan bersama pegawai fisio Selangor FC dan dijangka tidak akan bersama pasukan sehingga hujung musim ini.
Penyokong Selangor bagaimanapun boleh menarik nafas lega dengan kepulangan pemain import tonggak Gergasi Merah, Safuwan Baharudin ke pangkuan pasukan setelah bebas dari kecederaan menjelang pertemuan dengan Lang Merah.
Pasukan KDA FC kini berada di kedudukan ke-4 liga dengan pungutan mata yang sama dengan pasukan Gergasi Merah di tempat ke-5 iaitu 26 mata dengan perbezaan empat perlawanan dalam tangan dan kemenangan malam ini akan memberi laluan kepada Selangor FC untuk berada dalam kelompok 4 pasukan terbaik.
Semoga Selangor FC akan membawa pulang tiga mata berharga ini. Selamat berjuang, Gergasi Merahku!
Demi Kebanggaan.